United sedia halang pesta awal City

Pertemuan tumpuan minggu ini sudah pasti membabitkan dua kelab berjiran – Manchester City dan Manchester United di Stadium Etihad, tengah malam ini waktu Malaysia.



Selain berjiran satu bandar raya, kebetulan kedua-duanya turut ‘berjiran’ dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL).

City di puncak dengan 81 mata, manakala United di tempat kedua dengan himpunan 68 mata – perbezaan 13 mata antara kedua-duanya.

Adakah pertemuan ini harus diramal sengit tatkala pasukan bimbingan Pep Guardiola sudah hampir pasti merangkul kejuaraan liga bagi musim ini? Saya tidak menolak kemungkinan itu.




Bagi City kemenangan aksi jiran tetangga ini sangat didambakan bagi memastikan kejuaraan dapat disahkan awal sebelum berdepan semula dengan Liverpool pada saingan suku akhir Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu waktu Malaysia.

Pada aksi pertama di Anfield pertengahan minggu ini, anak buah Guardiola dikejutkan dengan kekalahan 0-3, sekaligus dilihat hampir menutup peluang mereka melangkah ke separuh akhir.

Menang ke atas United akan memastikan The Citizens meraih kejuaraan ketiga EPL tatkala saingan berbaki enam lagi. Namun untuk memenangi pertemuan ini, mereka harus segera melupakan kekalahan berkenaan.

Buat penyokong tegar City, kemenangan juga akan menjadi penanda aras betapa kelab mereka kini adalah kuasa besar di Manchester sekaligus keluar daripada bayang-bayang United selepas ia didominasi jiran mereka itu lebih tiga dekad sebelum ini.

Dalam 13 aksi terakhir kedua-dua pasukan, United tewas lapan kali. Kali terakhir pada 10 Disember lalu di Old Trafford, pasukan Guardiola menang 2-1. Adakah Jose Mourinho dan anak buahnya akan mudah mengalah pada aksi ini? Sudah tentu tidak.




Red Devils perlu juga memenangi perlawanan ini bagi mengekalkan kedudukan mereka di tangga kedua sekali gus mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan. Sebagai rekod Red Devils tidak pernah kalah dua aksi terakhir di Etihad.

Kemenangan United lewat awal pagi nanti sudah pasti merencatkan pesta City dan sekali gus menambah derita City.

Sementara itu, Liverpool yang berada di tempat ketiga liga dan seolah-olah berada di awangan selepas mengejutkan City pada Khamis lalu, dijangka tiada masalah mengetepikan cabaran Everton di Goodison Park, jam 7.30 malam ini.

Begitu juga satu lagi pencabar liga, Spurs, yang berkunjung ke Stoke City. Dalam pada itu, West Brom dilihat pasukan pertama bakal tersingkir dari EPL musim ini selepas hanya mampu mengumpul 20 mata selepas 32 perlawanan.

Lima pasukan lain juga bakal berdepan nasib sama jika tidak bangkit segera. Swansea City, Huddersfield, Crystal Palace, Southampton dan Stoke City harus menggunakan baki aksi untuk terus mengutip mata penuh.

Stoke mengumpul 27 mata untuk berada di tangga kedua terbawah manakala Southampton (28), Palace (30), Huddersfield dan Swansea masing-masing 31 mata.