Pogba, Smalling bantutkan impian City

MANCHESTER, England: Dua gol Paul Pogba pada babak kedua dan jaringan kemenangan Chris Smalling menafikan usaha Manchester City memastikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris lebih awal apabila musuh setempat mereka Manchester United bangkit mencatat kemenangan 3-2 di Stadium Etihad, sebentar tadi.



Sesudah mendahului 2-0 ketika rehat menerusi jaringan Vincent Kompany dan Ilkay Gundogan, City dilihat mampu memastikan kejuaraan liga buat kali kelima dalam sejarah dan ketiga dalam tempoh tujuh musim.

Bagaimanapun, Pogba, yang kurang dipedulikan pengurus Jose Mourinho selepas kembali menyertai Red Devils dengan rekod perpindahan dunia pada 2016, tampil menjadi penyelamat maruah pelawat dengan dua gol dalam tempoh dua minit pada babak kedua.

Bintang Perancis itu menyudahkan umpanan Ander Herrera bagi merapatkan jurang pada minit ke-53 sebelum menyamakan kedudukan dengan satu tandukan hasil lorongan Alexis Sanchez dua minit kemudian.





Sanchez sekali lagi menjadi pengumpan apabila sepakan percumanya disambut Smalling yang tidak dikawal pada minit ke-69 dengan rembatan kaki kanan ke penjuru gol gagal diselamatkan penjaga gol City dari Brazil, Ederson.

Percaturan jurulatih Pep Guardiola merehatkan beberapa tonggak utamanya termasuk Kevin De Bruyne, Gabriel Jesus dan Sergio Aguero ternyata memakan diri sekalipun pada awalnya percaturan itu kelihatan menjadi.

Kompany membuka tirai jaringan pada minit ke-25 apabila dia melonjak mengatasi benteng pertahanan United untuk menanduk masuk hantaran silang Leroy Sane susulan sepakan sudut dari sebelah kiri.





Lima minit kemudian, tuan rumah terus membuktikan penguasaan mereka apabila Gundogan menyempurnakan satu gerakan menarik membabitkan Raheem Sterling sebelum United mempamerkan kebangkitan menakjubkan pada babak kedua.

Sekalipun tewas, City tetap unggul 13 mata di depan United dengan berbaki enam perlawanan dan mereka boleh memastikan kejuaraan jika menewaskan Tottenham Hotspur di Wembley, Sabtu depan.

Sebelum itu, mereka terpaksa melayan kunjungan Liverpool pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Etihad awal pagi Rabu ini selepas tewas aksi pertama di Anfield 0-3. – Agensi