The Reds sokong Salah untuk Kasut Emas
LONDON – Kapten Liverpool, Jordan Henderson menyindir penyerang Tottenham Hotspurs Harry Kane dengan mengatakan rakan sepasukannya, Mohamed Salah akan menuntut kesemua tiga gol untuk dirinya ketika Merseyside menewaskan Bournemouth di Anfield awal pagi semalam.
Kedua-dua penyerang tersebut kini bergelut untuk merangkul gelaran Kasut Emas musim ini dengan Salah memiliki kelebihan lima gol selepas mencatatkan keseluruhan 30 jaringan dalam Liga Perdana England (EPL), meninggalkan Kane walaupun penyerang Tottenham tersebut berjaya menuntut satu jaringan sebagai miliknya selepas rayuan pemain itu diterima ketika menumpaskan Stoke City minggu lalu.
“Salah memberitahu saya bahawa dia akan menuntut kesemua gol kemenangan semalam.
“Dia seorang penyerang yang sangat bagus dan merupakan pemain penting pasukan kami. Malah, kami berharap Salah akan terus berusaha untuk menambah jaringan buat dirinya,” kata Henderson.
Sementara itu, Henderson percaya Kane masih berpeluang untuk mengejar Salah, sekali gus terus memberikan saingan hebat untuk muncul sebagai penjaring terbanyak EPL musim ini.
“Kane boleh kembali bersaing jika melakukan jaringan hatrik kerana dia mempunyai kelebihan melakukan penyudah seperti penyerang Manchester City, Sergio Aguero,” ujarnya.
Pada masa sama, James Milner turut menyindir Kane menerusi akaun Twitter miliknya dengan mengatakan Salah telah melakukan hatrik ketika menumpaskan Bournemouth, manakala dua jaringannya masih menunggu keputusan daripada panel rayuan. – Agensi