Jangan pilih laluar sukar – Safawi

KUALA LUMPUR: Kemenangan dalam tempoh 90 minit menjadi sasaran penyerang muda, Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid pada aksi suku akhir kedua Piala FA bertemu Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam esok.



Penggempur skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara itu dilihat mahu mengelak pertembungan daripada ditentukan menerusi masa tambahan ataupun sepakan penentuan penalti sekali gus mahukan rakan sepasukannya menempah tiket ke separuh akhir Piala FA dengan jalan yang lebih selamat.

Malah, rekod cemerlang di laman sendiri menjadi motivasi kepada dirinya untuk membantu skuad Harimau Selatan itu meneruskan perjuangan selepas terkandas pada suku akhir di tangan lawan yang sama pada edisi tahun lalu.

“Persiapan pasukan bertemu Pahang berada dalam keadaan yang baik dari segi mental dan fizikal. Kami perlu mengekalkan rekod kemenangan di Larkin, oleh itu kami akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan kemenangan pada perlawanan itu.

“Apa cara sekalipun, kami mahukan kemenangan. Saya amat berharap kami dapat menamatkan perlawanan dalam aksi 90 minit dengan keputusan berpihak kepada kami,” katanya menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.




Pada masa sama, Safawi turut mengintai untuk membarisi kesebelasan utama Harimau Selatan dan optimis kehadirannya dalam pasukan mampu untuk membantu JDT meraih kemenangan pada aksi berkenaan.

“Sekiranya terpilih dalam kesebelasan utama, saya yakin dengan bantuan rakan yang lain kami akan berjaya melepasi benteng pertahanan pasukan lawan.




“Bermain di halaman sendiri memberi kelebihan kepada kami, sorakan penyokong amat diperlukan bagi menaikkan semangat kami ketika di dalam padang,” katanya.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, anak buah Raul Longhi itu gagal membawa bekalan selesa apabila sekadar terikat tanpa jaringan.

Situasi ini sudah pasti sedikit sebanyak menggusarkan JDT memandangkan keputusan 1-1 berpihak kepada Pahang pada perlawanan kedua sudah mencukupi untuk anak buah Dollah Salleh mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala FA bertemu sama ada FELDA United atau PKNP FC.