PKNP FC layak ke separuh akhir

IPOH: Abu Bakar Fadzim memuji kesungguhan anak buahnya hingga berjaya melakar sejarah tersendiri layak ke separuh akhir Piala FA buat pertama kali.



Jurulatih Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC itu berkata, semua pemain berkerja keras untuk merealisasikan impian mara ke separuh akhir pertandingan berkenaan.

Lebih menarik, PKNP FC berjaya menumpaskan pendahulu Liga Perdana, FELDA United FC 2-1 di Stadium Tun Razak, Jengka, untuk mengikat agregat 2-2 sekali gus layak berdasarkan jaringan di gelanggang lawan.

“Ia hasil kerjasama sepasukan. Setiap pemain melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan berkesan.




“Mereka tidak berhenti bermain biarpun satu ketika FELDA United menyamakan kedudukan dan memiliki kelebihan 2-1 pada agregat,” katanya.

Pada perlawanan malam tadi, kapten, Mohd Shahrel Fikri muncul wira dengan menyumbat dua gol untuk membawa pasukan konglomerat itu ke separuh akhir.




Bakar berkata, dua hari sebelum perlawanan beliau ada mencabar pemain supaya tampil dengan persembahan terbaik dan tidak cepat berputus asa walaupun ketinggalan 0-1 selepas pertembungan pertama di laman sendiri.

Katanya, beliau juga melakukan sedikit perubahan posisi dan menerapkan taktikal disiplin pasukan mengikut kebolehan pemain untuk menekan barisan pertahanan FELDA United.

“Ternyata percaturan saya berhasil dan berkat usaha dan kegigihan pemain kami berjaya. Mungkin juga ia sudah rezeki PKNP FC,” katanya .