Hormati Roma, Jangan buat kecoh – Klopp

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool Juergen Klopp menggesa peminat kelab itu menghormati AS Roma yang menjadi lawan mereka pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara, ketika bertandang ke stadium berkenaan awal pagi esok.



Liverpool kini disiasat UEFA selepas penyokong mereka membaling objek ke bas Manchester City yang mengakibatkan kerosakan sebaik pasukan pelawat tiba untuk aksi pertama suku akhir di Anfield bulan ini.

Klopp berkata beliau mahu melihat semangat dan sorakan yang sama daripada penyokong Liverpool di dalam stadium namun mahu mereka menjaga tingkah laku di luar sana.




“Saya fikir, anda boleh lakukannya kembali di dalam stadium namun di luar stadium, tunjuklah rasa hormat,” kata Klopp.

“Ini adalah sebuah kelab bola sepak hebat yang juga sebuah keluarga. Kami dikenali dengan suasana hebat di seluruh dunia jadi tidak perlulah untuk membaling apa saja ke arah bas Roma. Tolong tunjukkan rasa hormat kepada mereka.

“Kita hanya bermusuh di padang. Semua orang tahu Rome sebuah tempat yang menarik dan tidak ramai tahu betapa indahnya Liverpool dan kita boleh menunjukkannya dalam tempoh 20 minit,” kata beliau.




Klopp berpendapat beliau tidak perlu memberitahu peminat Liverpool mengenai pentingnya memupuk suasana yang bagus untuk pasukannya.

“Mereka mencipta suasana yang istimewa dalam dunia bola sepak. Saya tidak tahu jika ia boleh menjadi lebih baik berbanding menentang Man City namun jika ia boleh dilakukan, ayuh kita cuba,” kata Klopp. – Reuters