Liverpool Bawa Bekalan Selesa

LIVERPOOL: Liverpool semakin menghampiri final Liga Juara-Juara dengan kemenangan 5-2 ke atas AS Roma pada perlawanan pertama separuh akhir di Anfield, awal pagi tadi.



Dua gol lewat daripada Roma, bagaimanapun akan memberi peluang buat kelab Itali itu yang bangkit daripada ketinggalan 1-4 sebelum menewaskan Barcelona, untuk mencipta kejutan dalam aksi timbal balik awal pagi Khamis depan.

Dua jaringan hebat Mohamed Salah memberikan skuad Jurgen Klopp kelebihan 2-0 pada separuh masa pertama dan Liverpool terus membelasah Roma pada separuh masa kedua.

Jaringan tunggal Sadio Mane dan dua daripada Roberto Firmino meletakkan Liverpool 5-0 di depan dan Klopp menganggap keadaan semakin selesa untuk mengeluarkan Salah yang beraksi cemerlang pada hari itu.




Namun jaringan Edin Dzeko buat pasukan pelawat pada minit ke-81 dan penalti Diego Perotti empat minit kemudian bakal memberi tekanan dalam aksi timbal balik di Rome.

Bayern Munich dan Real Madrid akan bertemu dalam satu lagi perlawanan separuh akhir awal pagi esok. – Reuters