Selangor raih tonik sebelum jumpa JDT

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor, Nazliazmi Mohamad Nasir mengakui tidak takut untuk berdepan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Selasa ini.



Malah, beliau menjelaskan Selangor mendapat ‘modal’ terbaik untuk dibawa ke gelanggang keramat Harimau Selatan itu selepas menamatkan badi empat kekalahan berturut-turut dalam liga ketika menewaskan Negeri Sembilan 2-1, malam tadi.

“Selepas kira-kira 20 minit aksi ketika berdepan Negeri Sembilan, saya dimaklumkan Kelantan mendahului JDT, jadi bagi saya kita boleh cipta sesuatu jika pendekatan taktikal yang lebih ampuh digunakan untuk berdepan JDT.

“Bukan kita takut, tapi kita perlu berwaspada kerana kemungkinan JDT akan melakukan perubahan dalam skuad mereka. Malah, kita akan bertandang ke JDT tanpa Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn.




“Kita mungkin hanya ada Rufino (Segovia) dan Willian Pocheco, tapi saya percaya jika pemain beraksi dengan penuh keyakinan dan mengikut perancangan jurulatih, tak mustahil apa saja boleh berlaku terutama untuk mendapatkan mata di Larkin,” katanya.

Kejayaan menundukkan skuad Hobin Jang Hobin adalah kemenangan pertama yang diraih Nazliazmi dalam saingan Liga Super selepas dilantik sebagai ketua jurulatih Red Giants pada awal bulan ini.

Malah, kemenangan itu membolehkan Selangor naik ke tangga kelapan liga selepas mengumpul sembilan mata hasil daripada tujuh perlawanan.




Selain turun tanpa Evan dan Ilham yang menyertai skuad bawah 23 (B-23) tahun Indonesia, Nazliazmi dilihat melakukan perubahan dalam skuadnya apabila tidak menyenaraikan Razman Roslan yang menyaksikan Amri Yahyah bertindak sebagai kapten.

Mengulas lanjut mengenai perubahan itu, Nazliazmi berkata tindakannya itu sebagai perancangan taktikal dan tidak menolak kemungkinan akan melakukan strategi berbeza bagi aksi getir berdepan JDT.

“Bagi memastikan pasukan terus meningkat, kita perlukan perubahan dan setiap pemain mesti sentiasa berlapang dada untuk perubahan demi kebaikan pasukan.

“Memang saya akui secara peribadi ketiadaan Evan dan Ilham sedikit mengganggu corak permainan pasukan dan taktikal. Tapi saya percaya kejayaan pasukan bukan terletak pada seorang atau dua pemain,” katanya.