VIDEO Kelantan kempunan di laman sendiri

TRW vs JDT

KOTA BHARU 28 April – The Red Warriors (TRW) wajib menyalahkan diri sendiri apabila tumpas 1-2 ditangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam ini.



Pada perlawanan itu, penyerang import Kelantan Mohamad Ghaddar meledakan jaringan pertama tuan rumah seawal minit ke-11 selepas bijak memanfaatkan hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Lima minit berselang, tuan rumah terus menekan skuad kendalian Longhi dan hampir menambah jaringan namun rembatan Mohamad Azwan Mohd. Aripin berjaya diselamatkan oleh Farizal Marlias di gawang gol JDT.

Tersentak dengan jaringan awal tuan rumah, pelawat bangkit menerusi serangan bertali-arus ke kubu TRW namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah.





Kesilapan penjaga gawang TRW, Mohammad Fakri Che Soh menjatuhkan S. Kunalan mengundang padah apabila pelawat diberikan penalti dan kapten JDT Shafiq Rahim tenang menyempurnakannya untuk gol penyamaan di minit ke-37.

Bersambung babak kedua, tuan rumah mulai mengendurkan asakan ke kubu pelawat seolah-olah sudah berpuas hati selepas terikat 1-1.





Pelawat menggunakan kesempatan itu apabila berjaya memperoleh gol kemenangan menerusi tandukan Ignacio Insa pada minit ke-82 untuk memastikan tiga mata menjadi milik JDT.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Fajer Ibrahim terus kempunan meraih kemenangan sulung. – UTUSAN