Barcelona juarai La Liga

The Barcelona squad pose for a photo as they celebrate winning the league title at Deportivo on Sunday evening

MADRID 30 April – Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan pasukannya selepas merangkul kejuaraan La Liga buat kali ke-25 hari ini.



Hatrik Lionel Messi dan gol pembukaan Philippe Coutinho mengesahkan kejuaraan buat Barcelona ketika saingan masih berbaki empat perlawanan selepas menumpaskan Deportivo La Coruna 4-2 di tempat lawan.

Barcelona yang hanya memerlukan seri daripada perlawanan itu untuk dinobat sebagai juara merangkul gelaran La Liga buat kali ketujuh dalam tempoh 10 tahun.

Kata Valverde, keinginan tinggi pemainnya untuk menang adalah kunci kejayaan mereka.




“Apabila anda sudah mengejarnya terlalu lama, anda akan kata ‘akhirnya’.

“Saya rasa sangat gembira kerana ia pengakhiran yang sempurna untuk liga yang amat panjang. Saingan bermula pada Ogos dan apabila musim bunga tiba, semuanya diputuskan. Kami telah melepasi segala-galanya,” katanya kepada televisyen Sepanyol.

Kemenangan itu hadir kurang dua minggu selepas Barcelona membelasah Sevilla 5-0 untuk muncul juara Copa del Rey.

Satu-satunya kekecewaan yang dialami anak-anak buah Valverde musim ini adalah tersingkir pada suku akhir Liga Juara-Juara kepada AS Roma biarpun mendahului 4-1 pada saingan pertama.




“Disingkir (oleh Roma) membuatkan kami sedikit terluka kerana ia tidak disangka, tetapi perjalanan kami sepanjang musim ini tetap luar biasa.

“Memang ada sedikit kekecewaan, tetapi kami akan cuba lagi tahun depan,” katanya, yang turut membawa Barcelona mencipta rekod mengharungi 41 perlawanan tanpa kalah.

Selepas Coutinho meletakkan pasukan pelawat di depan seawal minit keenam, sebelum Messi menambah tiga lagi gol pada minit ke-37, 81 dan 84. – AGENSI