VIDEO Perak Temui Rentak, Benam KL 3-0

IPOH: Berdasarkan kejayaan 3-0 ke atas Kuala Lumpur malam tadi, jurulatih Perak, Mehmet Durakovic yakin anak buah menunjukkan keupayaan untuk menjadi pencabar unggul dalam saingan Liga Super, musim ini.



“Ia antara persembahan terbaik kami. Memang persembahan mengagumkan dari Perak.

Pemain bermain mengikut taktikal disiplin yang direncana dan melaksanakan setiap arahan dengan sempurna. Mereka bermain seperti dikehendaki,” katanya yang turut berbangga pasukan bimbingannya kini berada di kedudukan ketiga.

Pada perlawanan malam tadi, Perak menenggelamkan pelawat dengan aksi bertenaga sepanjang 90 minit untuk menjaring gol melalui trio Brazil, Leandro Dos Santos, Wander Luiz dan Gilmar Jose Da Silva.




Malah tuan rumah mampu menang dengan jurang lebih besar jika beberapa peluang lagi berjaya diterjemahkan menjadi gol.

Kini apa yang diharapkan jurulatih itu adalah aksi konsisten anak didik agar dapat meneruskan kejayaan dalam baki saingan.

“Perjalanan masih jauh, jadi saya berharap pemain fokus kepada tugasan dan tidak cepat lupa diri,” katanya.