Hamburg turun Bundesliga selepas 55 musim

BERLIN: Hamburg tersingkir daripada Bundesliga buat kali pertama dalam sejarah mereka semalam, ketika kemenangan 2-1 ke atas Borussia Moenchengladbach ternyata terlalu lewat dan tidak mencukupi.

Kebanggaan 55 musim dalam liga utama Jerman itu berakhir dengan menyedihkan apabila penyokong Hamburg menyalakan bunga api dan suar sekali gus mencetus asap hitam di Volksparkstadion, memaksa perlawanan dihentikan beberapa minit sebelum tamat.



“Ini satu saat memedihkan buat setiap orang di kelab ini, kehilangan satu karakter yang melambangkan kebanggaan kami,” kata presiden Hamburg, Bernd Hoffmann.

Juara Jerman enam kali itu, yang memenangi Piala Eropah pada 1983, adalah satu-satunya pasukan yang bermain dalam setiap musim Bundesliga sejak ia diperkenalkan pada 1963, membolehkan mereka mendapat julukan ‘dinosaur.”

Sekalipun Hamburg berjuang untuk menang ke atas Moenchengladbach, mereka turun divisyen kerana Wolfsburg membenam Cologne untuk berakhir di tangga ketiga tercorot. Wolfsburg akan bermain playoff dengan Holstein Kiel, yang berakhir di tangga ketiga divisyen dua Jerman.

“Saya terlalu kecewa,” kata jurulatih Hamburg, Christian Titz. “Saya yakin kami boleh menang perlawanan ini dan ia sudah mencukupi untuk kekal.”




Bagi Bayern Munich, yang memastikan kejuaraan bulan lalu, semalam sepatutnya hari untuk bergembira dan meraikan kejayaan itu apabila mereka dihadiahkan dengan trofi Bundesliga bagi musim keenam berturut-turut.

Namun Bayern gagal memberikan jurulatih Jupp Heynckes ucapan selamat tinggal yang baik bagi perlawanan terakhirnya di laman sendiri apabila mereka mengalami kekalahan mengejut 1-4 kepada Stuttgart.

Berbahaya menerusi serangan balas pantas, pelawat merobek Bayern menerusi Daniel Ginczek (dua gol), Anastasios Donis dan Chadrac Akolo yang semuanya menjaringkan gol menerusi corak serangan sebegitu.

“Kekalahan ini amat mengecewakan, tapi kami tetap ada alasan untuk meraikannya,” kata penjaga gol Bayern, Sven Ulreich. – AFP