VIDEO Kesilapan mudah hukum TRW

KOTA BHARU: Kesilapan mudah menjadi punca utama pasukan Kelantan tewas 1-2 di tangan PKNP FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam tadi.



Ketua Jurulatih Kelantan, Fajer Ebrahim berkata, biarpun anak buahnya berjaya mengawal perlawanan, namun mereka turut melakukan kesilapan mudah.

“Pemain bermain agak baik dan mengawal permainan sepanjang perlawanan namun kesilapan mudah menghukum kami.

“Ia kesilapan yang amat mudah dan tidak sepatutnya berlaku, malah saya tidak percaya gol kedua PKNP FC terhasil daripada kesilapan itu,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di sini, malam tadi.

Fajer berkata, walau bagaimanapun beliau tidak menyalahkan sepenuhnya pemain The Red Warriors (TRW) berhubung kekalahan itu.

“Ya, saya marah, kerana ia kesilapan sama tetapi dalam situasi berbeza, namun saya terpaksa terima kekalahan itu kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.

“Walau bagaimanapun, saya tetap menyokong pemain dan berikan semangat kepada mereka, agar dapat lakukan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.




Pada aksi malam tadi yang dihadiri kira-kira 13,000 penyokong, Fajer menurunkan kesebelasan yang sama ketika menewaskan Kuala Lumpur 4-2.

Namun kesilapan kesilapan mudah penjaga gol, Mohamad Fikri Che Soh pada minit ke-83, dihukum kapten PKNP FC, Shahrel Fikri Md Fauzi yang menjaringkan gol kemenangan.

Gol saguhati TRW dijaringkan Mohammad Imran Samso pada minit ke-74.