Socceroos pertahan pemilihan Cahill

SYDNEY: Pemimpin bola sepak Australia terpaksa menafikan dakwaan pemain veteran Tim Cahill berada dalam skuad Piala Dunia negara itu kerana alasan komersial selepas penyerang Hibernian yang cemerlang, Jamie Maclaren disingkirkan.

Pemain berusia 38 tahun itu adalah penjaring gol paling prolifik Socceroos dengan 50 gol, meledak tiga gol dalam tiga Piala Dunia terakhir.



Rekod memihak kepadanya namun dia hanya menjadi pemain pinggiran Millwall sejak kembali ke selatan London, Januari lalu.

Di sebalik semua itu, dia berjaya berada dalam pasukan ketika jurulatih Bert van Marwijk mengecilkan skuadnya kepada 26 pemain daripada 32 hari ini, dengan penyingkiran Maclaren paling kontroversi, sesudah melakar hatrik hujung minggu lalu buat Hibs ketika mereka seri 5-5 dengan Rangers.

Ia menyebabkan Cahill dan pemain berpangkalan di Switzerland, Tomi Juric muncul dua penyerang paling dikenali dalam skuad itu sekalipun pemain yang belum pernah beraksi Daniel Arzani mengekalkan tempatnya.

Pengumuman itu hadir ketika Cahill diperkenalkan sebagai wajah penaja utama Socceroos, Caltex dalam kempen iklan terbaru.

Ia menyaksikan lima stesen minyak syarikat itu di bandar raya utama dikenali sebagai Cahilltex sepanjang Mei dan Jun, menampilkan gambar gergasi pemain terkenal Australia itu.

Ketua Persekutuan Bolasepak Australia, David Gallop menafikan sebarang rasional komersial di sebalik pemilihan Cahill yang semakin pasti beraksi pada Piala Dunia kali keempat.

“Sudah tentu tidak,” katanya kepada wartawan pada majlis promosi Caltex.




“Anda perlu melihat rekod Tim Cahill. Dia pemain yang sudah menyumbang buat Socceroos dan Australia banyak kali.

“Dia akan pergi ke Turki (kem latihan), dia menjalani latihan intensif beberapa minggu dan dia akan berada di sana (bagi pemilihan terakhir).”

Skuad Australia:

Penjaga gol: Brad Jones (Feyenoord/NED), Mathew Ryan (Brighton/ENG), Daniel Vukovic (Genk/BEL).




Pertahanan: Aziz Behich (Bursaspor/TUR), Milos Degenek (Yokohama Marinos/JPN), Matthew Jurman (Suwon Bluewings/KOR), Fran Karacic (NK Lokomotiva/CRO), James Meredith (Millwall/ENG), Josh Risdon (Western Sydney Wanderers/AUS), Trent Sainsbury (Grasshopper Club Zurich/SWI).

Tengah: Joshua Brillante (Sydney FC/AUS), Jackson Irvine (Hull City/ENG), Mile Jedinak (Aston Villa/ENG), Robbie Kruse (VfL Bochum/GER), Massimo Luongo (Queens Park Rangers/ENG), Mark Milligan (Al Ahli/KSA), Aaron Mooy (Huddersfield Town/ENG), Tom Rogic (Celtic/SCO), James Troisi (Melbourne Victory/AUS).

Penyerang: Daniel Arzani (Melbourne City/AUS), Tim Cahill (Millwall/ENG), Tomi Juric (FC Luzern/SWI), Mathew Leckie (Hertha BSC/GER), Andrew Nabbout (Urawa Red Diamonds/JPN), Dimitri Petratos (Newcastle Jets/AUS), Nikita Rukavytsya (Maccabi Haifa/ISR).