Inter Milan rampas slot ke Liga Juara-Juara

MILAN: Inter Milan merampas kedudukan terakhir Liga Juara-Juara apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 3-2 mengatasi Lazio pada hari terakhir saingan musim ini di Stadio Olimpico awal pagi tadi.

Inter perlu menang dalam usaha mengambil alih kedudukan ketiga dari Lazio yang memiliki kelebihan rekod antara kedua-dua pasukan serta hanya memerlukan seri.




Gol lewat permainan kapten, Mauro Icardi dan Matias Vecino memastikan Inter kembali ke Eropah buat pertama kali sejak musim 2011-2012 bersama Juventus, Napoli dan Roma.

“Sasarannya ialah Liga Juara-Juara. Itu garisan penamat,” kata penyerang Argentina, Icardi. “Perlawanan itu tidak berada di laluan yang betul, tetapi kami menampilkan kekuatan untuk membawanya kembali ke landasan.”

Lazio mendahului 2-1 berbaki 15 minit perlawanan di Rome selepas Ivan Perisic menjaringkan gol sendiri dan pemain Brazil, Anderson mendapat gol kedua sebelum rehat.




Namun Danilo D’Ambrosio mendapatkan kembali satu gol selepas 29 minit dengan Icardi meledak penalti selepas 78 minit berikutan dilakukan Stefan De Vrij dan menyamai jaringan pemain Lazio, Ciro Immobile selaku penjaring terbanyak Serie A musim ini dengan 29 gol.

Kapten Lazio, Senad Lulic dibuang padang pada lewat permainan kerana kad kuning kedua dengan Vecino menanduk masuk jaringan kemenangan seminit kemudian ketika skuad dari Rome itu kehilangam pertahanan Sepanyol, Patric yang juga dibuang padang.

Inter dan Lazio menamatkan musim dengan masing-masing mengumpul 72 mata namun Inter di depan berdasarkan kelebihan pertembungan antara kedua-dua pasukan meninggalkan Lazio di kedudukan keempat, lima mata di belakang Roma yang menewaskan Sassuolo 1-0. – AFP