Andres Iniesta pindah ke Jepun

BARCELONA: Bintang tengah Sepanyol, Andres Iniesta berkata dia akan berpindah ke Jepun sekali gus memberi petunjuk mungkin akan bermain bersama kelab Liga J, Vissel Kobe.

Legenda Barcelona itu semalam memaparkan gambarnya di Instagram bersama pemilik kelab berkenaan yang juga rakannya, Hiroshi Mikitani.




Gambar di laman Instagram itu menunjukkan Iniesta berada di dalam pesawat bersama Mikitani yang juga Ketua Pegawai Eksekutif penaja utama Barcelona, Rakuten.

Dia turut menulis mesej: “Bergerak ke kediaman baharu saya, bersama rakan saya @hiroshi.mikitani,” diikuti dengan huruf ‘JP’ diikuti ikon bola sepak serta kapal terbang.

Media di Sepanyol, semalam melaporkan Iniesta di ambang untuk menandatangani kontrak bersama kelab di liga elit Jepun dan bekas kapten Barcelona itu akan membuat pengumuman secara rasmi, hari ini.

Akhbar berpangkalan di Barcelona, Mundo Deportivo berkata pemain tengah itu yang bermain pada aksi terakhir pada Ahad lalu selepas 16 tahun, terbang ke Jepun, semalam dan dijangka akan membuat sidang media pada hari berikutnya.




Kobe tidak pernah memenangi kejuaraan di liga Jepun dan ketika ini menghuni tangga ketujuh Liga J.

Jika Iniesta melengkapkan perpindahannya ke Kobe, dia akan bergandingan dengan bekas penyerang antarabangsa Jerman, Lukas Podolski yang menyertai kelab itu tahun lalu.

Legenda Barcelona dan Denmark, Michael Laudrup pernah bermain untuk Kobe selama semusim pada tahun 1996 dan 1997, manakala bekas penyerang Barca, Gary Lineker juga meneruskan kariernya di Jepun bersama Nagoya Grampus. – AFP