Neymar pulih lebih cepat daripada dijangka

TERESOPOLIS, Brazil, 23 Mei – Bintang Brazil, Neymar bakal menjalani sesi latihan penuh lebih awal daripada jangkaan selepas dua bulan berehat susulan mengalami kecederaan retak tulang metatarsus dan kecederaan buku lali, kata jurulatih kecergasan pasukan tersebut hari ini.

Penyerang Paris Saint-Germain itu, yang telah menjalani pembedahan akibat kecederaan tersebut pada 3 Mac lalu di Brazil, akan turun melakukan latihan bersama skuad kebangsaan di Teresopolis, dekat Rio de Janeiro menjelang Piala Dunia 2018 Rusia.




“Secara keseluruhan, dia sudah pulih dan boleh menjalani latihan bersama skuad kebangsaan. Apa yang boleh saya katakan, perkembangannya lebih cepat daripada yang dijangka,” kata jurulatih kecergasan Brazil, Fabio Mahseredjian kepada pemberita.

Wakil perubatan pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar yang mengetuai pembedahan Neymar berkata, penyerang tersebut telah melakukan proses pemulihan mengikut peringkat yang ditetapkan.

“Dia melakukannya satu demi satu. Langkah seterusnya kini adalah menjalani latihan penuh bersama pasukan dan kemudian bermain.





“Semuanya terpulang kepada Neymar untuk menyesuaikan diri agar latihan dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Neymar berpeluang untuk turun dalam perlawanan pemanas badan menentang Croatia pada 3 Jun ini dan Austria (10 Jun), dengan Brazil akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Switzerland pada 17 Jun depan.

Dalam masa sama, Lasmar turut memberitahu pemain sayap Brazil Douglas Costa mungkin akan diketepikan dalam perlawanan persahabatan tersebut setelah mengalami kecederaan otot kecil.- AFP