VIDEO JDT Selesa Di Puncak Liga

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu liga selepas menewaskan Negeri Sembilan (NS) 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Walaupun beraksi di padang licin akibat hujan renyai sepanjang perlawanan, namun pemguasaan perlawanan menyaksi Gonzalo Cabrera muncul wira selepas menjaringkan dua gol pada setiap babak permainan.




Kekalahan NS itu memberi tamparan hebat buat pengendali baharu pasukan itu, Mario Lemos yang terpaksa memikir strategi ampuh untuk mengelak daripada tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan.

Serangan awal tuan rumah pada minit keenam nyata mengundang cemas benteng pelawat apabila bola sepakan lintang S Kunanlan menyaksikan Gonzalo Cabrera melonjak tinggi menanduk bola, namun sekadar melepasi palang gol.

Skuad Harimau Selatan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-18 apabila bola sepakan percuma Harry Novillo dari jarak 20 meter gagal ditangkap kemas penjaga gol, Ilham Amirullah Razali, namun tiada pemain tuan rumah yang cuba mencabar bola muntah.




Hanya pada minit ke-32, gol yang dinanti skuad kendalian Raul Longhi menjelma menerusi gerakan yang dimulakan Nazmi Faiz Mansor yang mengumpan bola kepada Cabrera dengan pantas merembat bola leret menewaskan Ilham Amirullah.

Bersambung di babak kedua, tuan rumah terus menggandakan asakan dan sentiasa memberi tekanan terhadap benteng pertahanan pelawat, namun masih belum mampu mencipta jaringan.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuah hasil selepas Cabrera menjaringkan gol pada minit ke-75 selepas menerima bola umpanan pemain gantian Safawa Rasid dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.