VIDEO Kecuaian punca PKNS seri – K. Rajagobal

MELAKA: Pengendali PKNS FC, Datuk K Rajagobal mengakui kecuaian menjadi punca jaringan sepakan percuma Melaka United (MU) menyebabkan skuad itu terlepas peluang meraih mata maksimum pada aksi di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Katanya, kesilapan sama juga berlaku dalam beberapa perlawanan sebelum ini menerusi sepakan percuma, termasuk aksi di bumi Hang Tuah.




Jaringan sepakan percuma import MU dari Korea, Jeon Woo Young pada minit ke-15 memastikan tuan rumah mendahulu sebelum Jafri Firdaus Chew menyamakan kedudukan pada minit ke-42 untuk keputusan kedua pasukan terikat 1-1 sehingga 90 minit permainan.

“Saya sudah menekankan fokus yang tinggi kepada pemain ketika sesi latihan berkaitan keperluan menutup ruang dan mengelak kesilapan sehingga lawan menjaringkan gol menerusi situasi ‘bola mati’ itu, namun ia kembali berulang.

“Apa pun, saya tetap berpuas hati dengan keseluruhan prestasi pemain yang menampilkan kesungguhan tinggi untuk meraih kemenangan. Justeru, saya mahu pemain mengekal momentum dan corak permainan seperti babak awal dan pertengahan babak kedua ketika berdepan MU menjelang perlawanan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).




Sementara itu, Rajagobal menerima keputusan pengadil yang melayangkan kad merah ketika aksi 10 minit terakhir kepada Daniel Sang Ting berikutan mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan itu.

Jurulatih MU, E Elavarasan pula berkata, pemainnya dilihat masih memiliki komitmen sama seperti aksi seri 0-0 berdepan Perak.

“Saya mahu pemain membentuk kesungguhan lebih tinggi pada aksi selepas ini walaupun diakui atas kertas The Red Ants lebih hebat dan mantap menerusi tiga kemenangan berturut-turut mereka sebelum itu,” katanya.