England mampu melangkah jauh

LOFTUS-CHEEK (kiri) menjalani latihan bersama skuad England di

LONDON – Pemain tengah England, Ruben Loftus-Cheek me­ngakui skuad muda The Three Lions mempunyai potensi untuk me­lakukan kejutan pada saingan Pia­la Dunia Rusia 2018 yang membuka tirai pada bulan depan.




England mempertaruhkan skuad muda pada kempen kali ini sekali gus menerima kritikan hebat bahawa pasukan tersebut tidak mampu pergi lebih jauh biarpun ketua pasukan mereka, Harry Kane percaya pasukan itu mampu muncul juara di Rusia nanti.

Pengurus England, Gareth Southgate menyenaraikan pasukan yang boleh dianggap ‘mentah’ yang me­nyaksikan mereka diletakkan bersama Tunisia, Belgium dan Panama dalam Kumpulan G.

“Saya rasa jangkaan bahawa kami tersingkir awal pada Piala Dunia Rusia sebagai tidak masuk akal. Ketika ini kami mempunyai pasukan muda yang terbaik dan pemain yang di bawa masuk ke dalam skuad menerusi penilaian semasa sepanjang musim ini.




“Saya 100 peratus bersedia untuk mewakili skuad kebangsaan. Bukan saya seorang merasai tekanan beraksi di pentas berprestij ini dan saya tahu bagaimana untuk mengatasinya. Ini adalah peluang terbaik untuk kami membantu England meraih kemenangan.

“Saya tidak boleh katakan yang kami tidak mampu untuk memenanginya kerana kami sememang­nya boleh. Pemain-pemain lain juga sama mereka mahu bergelar juara. Itulah yang kami akan cuba lakukan,” kata Loftus-Cheek.

England tidak pernah menjuarai Piala Dunia sejak 1966 dan harapan tinggi daripada ramai pihak sejak beberapa edisi lalu berakhir dengan kekecewaan. – Agensi