Kelantan mula resah tanpa import

SEREMBAN: Ketiadaan pemain import dianggap antara faktor penyumbang kepada kekalahan 0-2 Kelantan kepada Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Penolong ketua jurulatih, Yusri Che Lah berkata, atas faktor itu juga, skuad The Red Warriors (TRW) terpaksa menelan rasa pahit apabila mengalami tiga kekalahan berturut-turut.

Katanya, pasukan itu amat memerlukan segera pemain import untuk membolehkan mereka memberikan saingan lebih baik dalam baki liga.




“Kelantan kini mempertaruhkan ramai pemain muda dan walaupun kurang pengalaman, mereka berjaya menunjukkan persembahan yang baik.

“Kami juga sedar usaha mengilap mereka tidak akan dapat hasilnya dalam tempoh singkat. Justeru, kami amat perlukan segera tenaga import,” katanya.

Yusri berkata, pihak pengurusan sedang berusaha untuk mendapatkan tenaga import pada jendela perpindahan kedua dan kemungkinan khidmat pemain terbabit dapat digunakan dalam tempoh terdekat.




Beliau juga menafikan pasukan itu akan menyingkirkan Cassio Fransisco De Jesus selepas tidak disenaraikan, sebaliknya menyatakan pemain berasal dari Brazil itu mengalami kecederaan.

Sementara itu, kapten Fakhrul Zaman Abdullah Zawawi mengakui ketiadaan import memberi kesan besar kepada prestasi keseluruhan pasukan.

“Memang rasa panik selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut. Apapun kami akan terus fokus dan bekerja lebih keras untuk perlawanan berikutnya,” katanya.