John Terry tinggalkan Villa

LONDON: Bekas kapten England, John Terry berkata, dia akan meninggalkan Aston Villa dan mengakui kecewa selepas gagal membantu kelab Kejuaraan itu layak ke Liga Perdana.




Bekas pertahanan Chelsea itu menyertai Villa selepas mengikat perjanjian setahun sejak Julai tahun lalu dan melakukan 35 penampilan dengan kali terakhir pada aksi play off menentang Fulham tetapi tewas di Wembley.

Terry, 37, dalam Instagramnya berkata: “Hari ini saya tinggalkan Aston Villa. Saya bangga selepas berpeluang beraksi dan menjadi kapten kelab besar ini.




“Saya telah memberikan segalanya di dalam mahupun di luar padang tetapi sedih selepas gagal membantu kelab layak ke Liga Perdana, tempat sepatutnya ia berada.”

Sementara itu, jurucakap kelab dalam kenyataannya berterima kasih kepada Terry di atas kesungguhan dan profesionalismanya.

“John seorang pemimpin sebenar. Popular dan sangat berpengaruh di bilik persalinan. Dia berjaya memainkan peranannya sebagai kapten dan bijak menjalinkan hubungan baik dengan rakan sepasukan dan penyokong. Kami harap dia tidak lupakan Villa dan berjaya dalam kariernya selepas ini.” – AFP