VIDEO JDT Selesa Di Puncak, PKNP Terus Dirundung Malang

Sebelum perlawanan berkenaan, pemain dan penonton bertafakur selama seminit sebagai tanda penghormatan terhadap kemangkatan bonda Sultan Johor, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.

Sebaik wisel pertama dibunyikan, skuad bimbingan Raul Marcos Loghi terus melancarkan serangan ke kubu Perak dan hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol seawal minit keempat menerusi import baharu JDT, Fernando Marquez yang tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama peribadinya.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling menyerang bagi memburu gol namun JDT lebih berbisa apabila berjaya menggandakan jaringan menerusi Jorge Santos Silva pada minit ke-83 untuk memadamkan sisa-sisa perjuang skuad The Bos Gaurus.




Sementara itu, pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan tuan rumah Kuala Lumpur cemerlang mengutip tiga mata berharga apabila membenam Terengganu FC I 3-0.

Gol skuad The City Boys disumbangkan oleh Zhafri Yahya pada hujung babak pertama, Guilherme De Paula Lucrecio (minit ke-46) dan Paulo Josue Sturmer memastikan kemenangan milik mereka selepas menyumbat gol ketiga pada minit ke-81.

Di Ipoh, Mohd Faisal Abdul Halim menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan (minit ke-93) untuk membantu Pahang mengalahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) 2-1 di Stadium Perak.

Bagaimanapun, PKNP FC melakukan kejutan awal apabila membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi pemain pertahanan dari Lativia, Ritus Krjauklis.

Tersentak dengan jaringan awal, Pahang hanya mampu bangkit pada babak kedua untuk mencipta kemenangan menerusi jaringan penyerang import dari Gambia, Mohamadou Sumareh pada minit ke-74 sebelum Mohd Faisal menghadiahkan tiga mata penuh.