Main demi lencana di dada: Yusri

KOTA BHARU: Pengendali sementara Kelantan, Yusri Che Lah enggan mendabik dada dengan kemenangan 2-1 ke atas Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin sebaliknya mahu skuad kendaliannya berusaha lebih keras berdepan pasukan sama, malam esok.

Pada masa sama, jurulatih kelahiran Perlis itu tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi pada perlawanan berkenaan kerana yakin lawan pasti tampil lebih kuat.

“Saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi kerana perlawanan malam esok pastinya sukar buat pasukan, namun apa yang boleh diperkatakan kesungguhan pemain amat dituntut untuk mengutip mata kemenangan,” kata Yusri.




“Semua pemain perlu bermain demi lencana di dada dan semangat negeri yang tinggi kerana saya yakin itu bakal memberi kesungguhan kepada mereka.”

Ditanya mengenai prestasi semasa dua pemain import baharu pasukan, Lazarus Kaimbi dan Bakhtiyar Duishobekov, Yusri menganggap terlalu awal untuk membuat penilaian memandangkan pemain berkenaan baharu saja beraksi buat kali pertama bersama pasukan Selasa lalu.

“Bagi saya perkara itu terlalu awal untuk ditanya kerana semua orang tahu mereka baharu saja bersama pasukan dan prestasi mereka hanya boleh dilihat berdasarkan perlawanan yang mereka bermain Selasa lalu.




“Cuma apa yang saya harapkan daripada mereka adalah keserasian dengan pemain tempatan itu dalam setiap perlawanan nanti kerana itu memberi kelebihan buat pasukan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Kelantan mencipta dua jaringan menerusi pemain muda mereka, Nik Azli Nik Alias pada minit ke-55 serta selang tiga minit kemudian menerusi Danial Ashraf Abdullah.

Sementara itu Nik Azli menuntut rakan pasukannya mengulangi aksi bertenaga seperti dilakukan dalam perlawanan dua hari lalu.

“Bagi perlawanan malam esok saya dan rakan pasukan tetap optimis untuk melakukan yang terbaik demi memastikan kemenangan seterusnya buat pasukan.

“Pasukan berhasil melakarkan kemenangan Selasa lalu dan saya yakin semua pemain akan tampil lebih berkeyakinan malam esok,” katanya.