Shaqiri enggan komen kontroversi ‘gaya helang’

Image result for Xherdan Shaqiri

KALININGRAD 23 Jun – Xherdan Shaqiri mengakui, dia agak beremosi, namun enggan mengulas selepas mencetus kontroversi meraikan jaringan kemenangan Switzerland ke atas Serbia dengan membuat isyarat bendera Albania, awal pagi tadi.

Pemain berusia 26 tahun itu meledak gol kemenangan pada minit terakhir permainan untuk membantu Switzerland menumpaskan Serbia 2-1 dalam aksi kedua Piala Dunia, Kumpulan E.




Terdahulu, Granit Xhaka yang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-52 turut meraikan jaringannya dengan gaya yang sama seperti Shaqiri.

Ketika meraikan jaringannya, Shaqiri, perancang kelahiran Kosovo menyilang tangan untuk meniru bentuk helang yang ada di bendera Albania, sekali gus mencetus persoalan apakah sambutan itu sebagai mesej kepada Serbia yang gagal mengiktiraf tempat kelahirannya sebagai negara merdeka.

“Selepas memikirkan tentang perkara ini, saya tidak mahu bercakap.

“Dalam bola sepak sentiasa ada emosi dan anda lihat apa yang saya lakukan, ia tindakan penuh emosi. Namun, saya gembira dapat menjaringkan gol cuma saya tidak mahu bercakap tentang perkara ini,” kata Shaqiri kepada pemberita.




Dalam perlawanan itu, Switzerland mempamer kebangkitaan hebat selepas ketinggalan 0-1 seawal minit kelima menerusi jaringan Aleksandar Mitrovic.

Selepas percubaannya terkena palang pada babak pertama, Shaqiri tidak melakukan kesilapan ketika menerima hantaran pemain gantian, Mario Gavranovic untuk menyempurnakan gol kemenangan dramatik pada minit ke-90.

“Ia adalah hantaran hebat daripada Gavranovic. Saya tahu ini peluang yang baik dan saya ada naluri yang baik untuk menyudahkan hantaran itu.

“Pemain kami beraksi untuk kelab ternama di seluruh Eropah. Kami bangkit dalam perlawanan ini dan ia sesuatu yang tidak dapat kami kecapi beberapa tahun sebelum ini,” katanya. – AGENSI