Arab Saudi, Mesir elak tercorot

Volgograd: Arab Saudi dan Mesir yang sudah tersingkir, bakal bertarung untuk mengelak daripada menamatkan saingan Kumpulan A Piala Dunia di tangga terakhir – penamat mengecewakan terutamanya buat Mesir yang menampilkan penyerang berbisa, Mohamed Salah.




Kedua-dua pasukan tewas dua perlawanan sebelum ini dan satu-satunya yang boleh diselamatkan pada pertembungan di Volgograd Arena ialah kesempatan untuk tidak menghuni tangga terakhir kumpulan.

Bagi Arab Saudi, perlawanan itu turut menawarkan kemungkinan gol pertama dalam kejohanan di Russia.

Mesir yang membuat penampilan pertama Piala Dunia sejak 1990, pernah diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk mara ke pusingan kalah mati selepas mengharungi kempen kelayakan yang memberangsangkan.

Bagaimanapun, mereka kalah 0-1 kepada Uruguay pada perlawanan pembukaan di mana Salah tidak beraksi kerana masih belum pulih daripada kecederaan. Ketika menentang tuan rumah, Russia, Mesir tewas 1-3.




Salah adalah tonggak utama Mesir dan dia menjaringkan 71 peratus daripada gol pasukan sepanjang kempen kelayakan selain meledak gol tunggal The Pharaohs di Russia setakat ini.

Walaupun berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk gol berkenaan, Salah tampak masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu yang dialami ketika final Liga Juara-Juara bersama Liverpool.

Presiden Persatuan Bolasepak Mesir (EFA), Hany Abo Rida berkata, Salah tidak akan pulang awal walaupun pasukannya sudah tersingkir.

Ketika tidak banyak yang ditawarkan pada perlawanan terakhir itu, penjaga gol Mesir, Essam El-Hadary tetap mengharapkan untuk diturunkan bagi membolehkannya mencatat rekod sebagai pemain paling tua beraksi di pentas Piala Dunia.

Penjaga gol berusia 45 tahun itu sekadar memanaskan bangku simpanan pada dua perlawanan terdahulu dan kini terpulang kepada pengendali, Hector Cuper untuk memberi penghormatan kepada El-Hadary pada penampilan Piala Dunia terakhirnya. – HMetro