Shahrel Fikri Berhijrah Ke Liga Utama Thailand

Penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri telah menerima tawaran rasmi daripada kelab Liga divisyen 1 Thailand, Nakhon Ratchasima FC yang kini menghuni kedudukan ke 9 dalam saingan Liga tersebut.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Hasnizam Uzir melalui laman twitter miliknya. Beliau ialah antara individu yang bertanggungjawab untuk memasarkan bakat-bakat pemain muda tempatan untuk kemajuan bola sepak negara.




Menurut Hasnizam, surat tawaran rasmi sudah dikeluarkan oleh kelab Nakhon Ratchasima FC dan Shahrel akan menyertai kelab itu secara pinjaman daripada PKNP FC.

Bagaimanapun, Shahrel akan berangkat ke Thailand pada malam esok jika pihak pengurusan PKNP FC mengeluarkan surat perlepasan rasmi pada sebelah pagi esok.

Bulan Januari lepas, Shahrel Fikri pernah menyatakan kesediaan beliau untuk menimbangkan tawaran dari kelab Liga Thailand dan mana-mana pasukan dari luar negara tanpa menghiraukan jumlah gaji yang rendah ditawarkan oleh kelab tersebut.

Beliau bercakap kepada Harian Metro, mempunyai impian beraksi di luar negara untuk meningkatkan tahap permainannya.

“Saya difahamkan ada pemain kita yang tolak tawaran bermain di sana kerana gaji lebih rendah tapi saya pula tidak kisah kerana apa yang lebih penting adalah pendedahan,” katanya.




“Kontrak saya bersama PKNP tidak menjadi halangan kerana kami mempunyai persefahaman bersama mereka akan melepaskan saya jika menerima tawaran kelab lain.

“Jadi walaupun kontrak masih berbaki tiga tahun namun saya boleh meninggalkan PKNP bila-bila masa dalam tempoh itu dengan syarat mematuhi peraturan serta perjanjian.

“Ia bukan bermakna saya tidak menghargai jasa PKNP atau bersikap kacang lupakan kulit tapi saya nak cari pengalaman baru serta meningkatkan permainan,” katanya

Shahrel fikri menerima anugerah penyerang tempatan terbaik musim lepas.