Belgium-England, Pertembungan EPL?

Image result for belgium v england

DEDOVSK, Russia: Pertembungan Piala Dunia Belgium berdepan England, awal pagi Jumaat ini mungkin seakan suasana latihan Tottenham bagi pemain kedua-dua pasukan, namun tegas Jan Vertonghen tiada masa untuk mereka bergelak tawa pada aksi berkenaan.




Bagi Vertonghen dan Toby Alderweireld yang mengemudi barisan belakang Belgium, mereka pastinya berasa ‘janggal’ kali ini apabila ditugaskan menyekat kelibat penyerang England Harry Kane yang juga rakan sepasukan mereka di Spurs.

Bagaimanapun, dengan kedua-dua pasukan hampir pasti meneruskan kemaraan, tekanan untuk aksi tumpuan itu pastinya berkurangan.

“Ia akan menjadi pelik untuk berdepan dengannya dan rakan sepasukan yang lain, dalam kata lain ia juga menjadi lawak,” katanya kepada pemberita di kem latihan Belgium.

Kata Vertonghen, pemain kedua-dua pasukan yang menjadi musuh utama Kumpulan G juga saling berhubung menerusi perbualan telefon.




Sebahagian besar pemain skuad Belgium beraksi dalam Liga Perdana Inggeris, tiga daripadanya bersama Tottenham, manakala dengan Chelsea, Manchester United dan Manchester City masing-masing dua pemain.

Ditanya adakah mereka tidak mengambil perlawanan ini dengan serius, Vertonghen berkata: “Kami tahu kami boleh kalah, mereka pun sama, jadi sebolehnya kami mengelak untuk tewas kerana enggan menjadi bahan gurauan sesama sendiri.”

Selain Kane, England turut diperkuatkan empat lagi pemain Tottenham iaitu Dele Alli, Eric Dier, Danny Rose dan Keiran Trippier. – Reuters