Argentina perlukan magis Messi jumpa Perancis

Image result for messi argentina france

KAZAN 29 Jun – Argentina dan Lionel Messi perlu segera mendapatkan prestasi terbaik esok jika berhajat melangkah lebih jauh dalam Piala Dunia apabila mereka bertemu Perancis, pasukan yang masih belum mempamerkan standard sebenar mereka.




Perlawanan sulung peringkat 16 terbaik di Rusia itu menjanjikan satu pertemuan menarik melibatkan dua pasukan pilihan yang masih gagal mempamerkan taring mereka.

Segala kekurangan di dalam skuad Argentina berjaya didedahkan sewaktu mereka dibenam Croatia dalam saingan peringkat kumpulan.

Namun, jeritan Diego Maradona yang tidak pernah jemu menyokong La Albiceleste akhirnya didengari Messi yang meledakkan gol pertamanya dalam pertandingan ini sebelum Marcos Rojo menyempurnakan sepakan voli memukau untuk gol kemenangan ke atas Nigeria, dan melayakkan finalis 2014 itu ke peringkat kalah mati.

Sementara itu, skuad bimbingan Didier Deschamps, Perancis yang merupakan antara pasukan pilihan kali ini, mempamerkan persembahan kurang meyakinkan meskipun mudah melepasi halangan peringkat kumpulan.

Penyerang utama mereka, Antoine Griezmann masih belum mendapatkan rentak permainan terbaiknya dan tonggak Atletico Madrid itu gagal menggunakan kreativitinya untuk menggerakkan bahagian tengah.

Walau bagaimanapun Deschamps menegaskan bahawa Perancis akan kembali berada di landasan sebenar sebaik sahaja pertarungan peringkat kalah mati berakhir esok.




“Pertandingan sebenar akan bermula sekarang, penyingkiran terus. Kami berjaya mendapatkan apa yang kami mahukan. Sekarang perjuangan sebenar sudah berada di hadapan kami, tetapi kami telahpun fokus kepada perlawanan itu dan kami mensasarkan untuk ke peringkat seterusnya,” katanya.

Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or, Messi pula kian terdesak untuk membuktikan bahawa dia merupakan individu penting dalam skuad Argentina selepas menjaringkan gol pembukaan sewaktu menentang Nigeria Rabu lalu.

Namun, dalam perlawanan menentang Iceland yang berkesudahan seri 1-1, bintang Barcelona itu gagal menyerlah sekali gus menjadikan perjalanan berliku Argentina dalam Piala Dunia kali ini bermula seawal aksi pembukaan.

Messi selepas itu tenggelam ketika anak-anak buah Jorge Sampaoli ditimpa kekalahan kepada Croatia. – AFP