England atasi Colombia menerusi penentuan penalti

MOSCOW: Skuad muda England mencipta sejarah dengan memberikan kemenangan kali pertama menerusi penentuan sepakan penalti dan kejayaan itu dicapai selepas Colombia menyamakan kedudukan pada minit-minit akhir permainan sekali gus menyaksikan mereka semakin matang dan yakin kepada diri sendiri, kata ketua pasukan Harry Kane.



“Kami berdiri teguh dan tidak akan membiarkannya memberikan kesan kepada kami,” kata penyerang itu yang menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada separuh masa kedua sebelum jaringan Yerry Mina membolehkan Colombia mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-93.

“Ia malam cukup indah buat England,” katanya kepada wartawan. “Ini adalah pasukan muda tetapi kami membesar di atas padang malam ini. Kami tahu pada masa lalu England tidak begitu hebat dan adalah baik untuk mendapatkannya kembali.”




Sebelum kemenangan 4-3 menerusi penentuan penalti di Stadium Spartak, England tewas tiga kali di Piala Dunia menerusi penentuan penalti dan tiga daripada empat di Kejohanan Eropah, termasuk satu membabitkan Gareth Southgate yang kini jurulatih England pada Euro 96 yang menyaksikan Jerman ke final.

“Perjalanan kami masih jauh di kejohanan ini,” kata Kane yang turut menjaringkan gol ketika penentuan sepakan penalti sambil menjangkakan penyokong England mengharapkan perlawanan kurang ‘menakutkan’ ketika bertemu Sweden dan mara ke pusingan akhir untuk bertemu sama ada Russia atau Croatia.

“Ia memberikan keyakinan yang besar buat kami,” kata Kane yang muncul penjaring terbanyak kejohanan setakat ini. – Reuters