Malaysia tiada penyerang berbisa – Cheng Hoe

Malaysia tiada penyerang berbisa -- Cheng Hoe

Kemenangan besar bukan menjadi keutamaan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, sebaliknya ia menjadi penilaian terhadap keserasian di antara pemain dalam perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A berdepan Fiji di Cheras, esok.



Cheng Hoe berkata ia adalah terlalu awal untuk pasukan memburu kemenangan besar dalam sekelip mata bagi aksi persahabatan pertama itu tatkala mereka masih mempunyai lima lagi perlawanan akan datang.

Dan penilaian terbaik akan dilakukan dalam aksi itu untuknya mendapatkan skuad lengkap pada Oktober nanti.

Apa yang pasti, katanya, bahagian serangan yang masih lemah menjadi keutamaan untuk anak buahnya memperbaiki permainan memandangkan tidak ramai pemain tempatan yang berpeluang beraksi di posisi itu dalam Liga Malaysia.




“Bahagian serangan kami mempunyai masalah kerana ramai pemain tempatan tiada peluang dalam Liga Malaysia tetapi saya tidak boleh cari alasan.

“Saya perlu cari jalan supaya saya boleh mengatasi masalah di bahagian serangan itu. Setakat ini, saya nampak mereka mempunyai keyakinan untuk beraksi dalam perlawanan esok,” katanya dalam sidang media, hari ini.




Sementara itu, pengendali Fiji, Christophe Gamel, ketika menganggap anak buahnya yang rata-rata berstatus pemain amatur hanya ingin menikmati perlawanan sepenuhnya tanpa meletakkan tekanan untuk menang dalam aksi itu.

“Pemain amatur saya akan bermain menentang pemain profesional Malaysia. Kami perlu meningkatkan prestasi kami, ini adalah perkara penting. Ya, kami melihat aksi mereka sebelum ini,” katanya.