Selangor kembali beraksi di Stadium Shah Alam

KUALA LUMPUR: Dua hari sebelum beraksi di pentas Piala FA, Selangor mendapat tonik apabila akhirnya akan kembali beraksi di Stadium Shah Alam selepas dua musim menjadi ‘pengemis’ di gelanggang lain.



Perkembangan itu disahkan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menerusi satu kenyataan medianya, semalam.

Menurut Amirudin yang juga bekas pengurus pasukan The Red Giants, langkah itu diambil sebagai sokongan padu terhadap sebarang urusan yang membabitkan pengurusan pasukan itu selepas Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dilantik secara sah menjadi presiden baharu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), kelmarin.




“Ia termasuk penggunaan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang tuan rumah untuk pasukan Selangor bagi perlawanan akan datang.

“Jadi, pengurusan FAS boleh mula berbincang dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkenaan urusan jadual perlawanan.

“Pasukan Selangor juga sudah mula berlatih di Padang Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagai persediaan untuk aksi final Piala FA dan akan terus menggunakan padang terbabit sebagai lokasi latihan pasukan,” katanya.

Dalam masa sama, Amirudin turut menegaskan pelbagai bentuk bantuan dan juga sokongan akan terus diberikan demi kecemerlangan pasukan itu pada masa hadapan sambil mengharapkan pasukan itu dapat merangkul kejuaraan pada aksi final bertemu Pahang, Sabtu ini.




“Pelantikan Tengku Amir adalah tepat pada ketika FAS memerlukan kepimpinan yang lebih kuat dan mampu melonjak kembali imej pasukan The Red Giants sebagai antara pasukan terkuat rantau ini.

“Kerajaan Negeri Selangor dan seluruh rakyatnya mendoakan agar Allah memberikan kekuatan kepada Tengku Amir bagi mengemudi FAS ke satu dimensi yang baharu.

“Ayuh bersatulah, berikan sokongan padu pada Final Piala FA antara Selangor menentang Pahang. Kekalkan mentaliti juara dan semoga Piala FA berjaya dibawa pulang ke negeri Selangor,” katanya.