Shivan tekad ledak banyak gol dalam kempen AFC di Indonesia

SHIVAN (dua dari kanan) meledak empat gol ketika membantu skuad

MESKIPUN skuad remaja negara sudah menjuarai Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bawah 19 tahun (B-19) selepas menum­paskan Myanmar 4-3, namun pemain pertahanan negara, Shivan Pillay Asokan masih belum puas untuk menjaringkan lebih banyak gol selepas menjadi penyum­bang utama buat pasukan ketika beraksi di Surabaya baru-baru ini.



Pemain berusia 18 tahun itu menjaringkan empat gol terma­suk satu jaringan penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir ketika perlawanan seri 1-1 berdepan pasukan tuan rumah, Indonesia di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Jumaat lalu.

Shivan mengakui dia sangat optimis untuk membantu pasukan supaya penantian lima kali di pentas final untuk menjulang trofi terlerai ketika bertemu Myanmar, Sabtu lalu.




“Saya masih mempunyai keinginan yang tinggi untuk menyumbang lebih banyak gol buat skuad bimbingan Bojan Hodak ketika beraksi pada peringkat Asia.

“Saya mahu semangat yang ada ketika ini dapat diterjemahkan semasa mengharungi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Indonesia bermula 18 Oktober hingga 4 November depan,” kata­nya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Shivan yang juga ber­aksi untuk Piala Presiden Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) me­rasakan kejayaannya menjaringkan gol sepanjang kejohanan AFF adalah atas usaha dan kerjasama yang diberikan oleh semua barisan jurulatih dan rakan-rakan sepasukan.




“Meskipun kami berlatih dalam tempoh masa yang singkat, namun kesungguhan yang ditunjukkan pemain berjaya dipersembahkan bermula pada aksi pe­ringkat kumpulan sehingga ke pentas final.

“Meskipun kami ketinggalan 2-3 pada babak pertama, namun kepercayaan yang ada dalam diri pemain mampu merubah keputusan se­terusnya dapat mencipta kemenangan pertama buat pasukan dalam saingan Piala AFF B-19,” ujarnya.