AFC belum terima laporan serangan penonton di Surabaya

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) belum menerima laporan insiden serangan penonton ke atas pasukan Malaysia pada aksi separuh akhir Kejohanan Bawah 19 tahun (B-19) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Surabaya, pada Khamis lalu.

Mengesahkan perkembangan itu, Setiausaha Agung AFC, Windsor Paul John berkata pihaknya memahami situasi terbabit dan akan memberi masa yang secukupnya kepada AFF untuk menyediakan laporan.



“AFC masih belum menerima laporan mengenai insiden itu. Laporan lengkap memerlukan masa, jadi kita memberi peluang kepada AFF untuk menyediakannya.

“Seperti saya katakan sebelum ini, kita perlu menunggu laporan AFF terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan yang sewajarnya,” katanya, di sini, hari ini.

Khamis lalu, skuad B-19 negara diserang penyokong Indonesia sejurus selepas perlawanan menentang tuan rumah di Stadium Gelora Delta Sidoerjo berakhir, gara-gara tidak puas hati dengan kekalahan skuad Garuda Muda.

Pada perlawanan itu, pasukan Indonesia tewas menerusi penentuan sepakan penalti 2-3 kepada Malaysia selepas aksi sebenar terikat 1-1.




Menerusi video diterima Sukan NSTP yang dirakam sendiri jurulatih, Bojan Hodak, kelihatan pemain dan pegawai pasukan negara terpaksa berlari ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri daripada diserang penyokong tuan rumah yang didakwa membaling botol minuman dan batu.

Ini bukan kali pertama penyokong Indonesia bertindak sedemikian dan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) sudah menerima padah susulan tindakan ganas penyokong bola sepak di negara itu sebelum ini




Pada 2013, PSSI pernah didenda AS$15,000 (RM60,585) selepas penyokong mereka berkelakuan ganas ketika menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Arab Saudi.

Persatuan itu didenda AS$10,000 (RM40,390) selepas penyokong menyalakan mercun dan membaling botol air serta denda tambahan AS$5,000 (RM20,195) kerana ia kesalahan berulang dilakukan dalam empat perlawanan pada 2012.