Kedah ‘tangguh’ hajat Perak

IPOH 22 Julai – Perak terlepas peluang untuk mengesahkan kedudukan naib juara Liga Super musim ini selepas seri tanpa jaringan dengan Kedah di Stadium Perak di sini hari ini.

Keputusan itu bermakna Perak mengumpul 36 mata selepas 21 perlawanan, hanya dua mata mengatasi pasukan di tangga ketiga, Pahang 34 mata ketika hanya tinggal baki satu perlawanan.



Dalam perlawanan di sini hari ini, aksi seimbang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan di babak pertama namun Perak lebih banyak mencipta peluang gol.

Malah pemain Perak, Wander Luiz berjaya meletakkan bola ke dalam gawang Kedah pada minit ke-13 namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.

Pasukan tuan rumah sekali lagi hampir mencipta jaringan menerusi percubaan jarak dekat Gilmar pada minit ke-42 namun sempat ditepis penjaga gol Kedah, Mohamad Ramdhan Ab. Hamid.




Perak sekali lagi menggegar gawang Kedah menerusi Gilmar pada minit ke-78 apabila menanduk masuk bola sepakan bebas Nazirul Naim Che Hashim namun jaringan tersebut dibatalkan kerana ofsaid.

Ini bermakna penentuan naib juara liga akan ditentukan dalam perlawanan terakhir liga dengan Perak akan berdepan pasukan tangga keempat, PKNS dalam perlawanan terakhir liga di Stadium Shah Alam pada Sabtu.

Perebutan naib juara Liga Super kini terbuka untuk Perak, Pahang dan Terengganu yang kurang dua perlawanan. – UTUSAN