Idea naturalisasi perlu segera – Wira Yusoff

KUALA LUMPUR 23 Julai – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata, idea membawa masuk pemain naturalisasi yang tiada sebarang kaitan dengan Malaysia perlu disegerakan jika tidak mahu prestasi pasukan negara semakin jauh ketinggalan.



“Kita mungkin perlu pemain ber­kenaan di posisi yang penting dan kritikal seperti penyerang tetapi bukanlah bermakna kena ada 22 orang seperti mereka dalam pasukan negara. Kita pun mahu mencari pemain daripada kalangan remaja seperti bawah 15 atau 17 tahun yang diberikan lima tahun terlebih dulu untuk diserapkan dalam skuad belia negara.

“Kami melihat jiran terdekat kita, Filipina dan Singapura pun bertambah baik dengan pemain begini. Mungkin sudah sampai masanya peminat bola sepak kita tidak kisah siapa pemainnya asalkan Malaysia menang,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Petaling Jaya dekat sini.

FAM setakat ini menetapkan pemain yang ingin diambil sebagai pemain naturalisasi mestilah mempunyai pertalian darah dengan Malaysia seperti ibu atau bapa mereka berasal dari negara ini.




Sebelum ini, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata cadangan mengambil pemain dari luar negara yang diberikan kerakyatan merupakan antara mekanisme yang difikirkan dalam usaha menambah baik prestasi Harimau Malaya.

Mengenai panggilan pemain untuk menyertai skuad bawah 23 tahun Sukan Asia yang menimbulkan rungutan segelintir pasukan Liga Malaysia, Yusoff berkata pihaknya akan menunggu hingga tarikh akhir 30 Julai ini sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.

“Cubalah kita lihat bagaimana pencapaian pasukan kita dalam Kejohanan Bawah 23 AFC di China, Januari lalu (mara suku akhir),” katanya yang juga pengurus pasukan bawah 23 tahun negara.




Temasya di Jakarta dan Palembang itu menyaksikan Malaysia diundi bersama Korea Selatan, Kyrgysztan dan Bahrain untuk bersaing di peringkat kumpulan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mahu membentuk kumpulan yang dianggotai tokoh terbilang dalam kalangan bekas pemain negara yang mampu menyumbangkan masa, tenaga dan idea membina mereka ke arah kemajuan sukan ini secara sukarela.

Katanya, selain pemain le­genda, mereka yang berada di luar tembok Wisma FAM ini mesti terdiri daripada kalangan yang benar-benar berminat dan pihaknya sedia mendengar setiap input yang dikeluarkan.

“Saya akan ada kumpulan tokoh terbilang sendiri. Idea ini saya dapat daripada ratusan mesej ekoran pelantikan saya sebagai Setiausaha Agung FAM,” katanya.