Jamal Nasir sokong ambil pemain naturalisasi

Image result for Datuk Jamal Nasir Ismail

KUALA LUMPUR 25 Julai – Bekas pemain pertahanan yang membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, Datuk Jamal Nasir Ismail menyambut baik cadangan Presiden Persa­tuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin untuk mengambil pemain luar negara yang diberikan kerakyatan dalam usaha menambah baik prestasi Harimau Malaya.

Jamal yang memiliki 165 cap bersama skuad kebangsaan berkata berdasarkan situasi sekarang sudah tiba masanya untuk Harimau Malaya menggunakan khidmat pemain naturalisasi selepas kerap menggunakan pemain yang sama menyarung jersi Malaysia.



“Saya fikir, berpandukan situasi sekarang kita perlu menggunakan pemain naturalisasi kerana jika kita tidak bersedia bermakna bola sepak negara ini tidak akan ke mana kerana pemain kita tiada pembaharuan.

“Tidak banyak pasukan yang mencungkil bakat baharu dan saya te­ngok setiap pasukan bertukar-tukar pemain yang sama, jadi bermakna kita tiada pemain baharu yang hendak ditonjolkan. Hendak harapkan pemain daripada NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) lambat lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sabtu lalu, Hamidin mengakui cadangan mengambil pemain dari luar negara yang diberikan kerakyatan merupakan antara salah satu mekanisme dalam usaha menambah baik prestasi skuad kebangsaan.

Kata Hamidin, idea tersebut walau bagaimanapun masih di peringkat awal dan banyak usaha perlu dilakukan jika ingin membawa masuk pemain berstatus naturalisasi ke dalam pasukan kebangsaan.

Dalam pada itu, Jamal berkata tiada salahnya jika Hamidin mahu mengambil langkah drastik tersebut sambil menggesa semua pihak supaya memberi sokongan kepada beliau.




“Kita kena ambil langkah drastik. Tengok Filipina, dahulu mereka pasukan belasahan tetapi tidak lagi sekarang.

“Walau bagaimanapun, tiada peningkatan dalam kalangan pemain tempatan dan susah untuk mereka memberikan cabaran di pentas antarabangsa. Tidak perlu diperbesarkan hal ini. Kita kena beri sokongan dan jangan cepat melatah.

“Sampai bila hendak menjadikan Piala AFF dan Sukan SEA sebagai penanda aras? Kita kena fikir di luar kotak jika tidak kita akan berada di takuk sama,” katanya.

Untuk rekod, skuad negara mempunyai beberapa pemain naturalisasi seperti Kiko Insa, Junior Eldstal dan Matthew Davies tetapi syarat semasa ditetapkan oleh FAM adalah mestilah mempunyai kaitan dengan Malaysia seperti sama ada ibu atau bapa rakyat negara ini.