Real Madrid tawar RM321j untuk Lloris

Image result for Hugo Lloris madrid

LONDON 25 Julai – Real Madrid akan memulakan langkah untuk mendapatkan penjaga gol yang membawa Perancis merangkul Piala Dunia 2018, Hugo Lloris.

Menurut akhbar Britain, Sun, Los Blancos melihat bintang Tottenham itu sebagai calon utama untuk menggantikan Keylor Navas dan sedia mengemukakan tawaran 60 juta pound (RM321 juta).



Lloris dikatakan bersedia untuk meninggalkan London dan berhijrah ke Madrid, namun dia tidak akan sesekali mendesak Spurs agar melepaskannya.

Pemain berusia 31 tahun itu menjadi sasaran terbaru Real selepas usaha mereka mendapatkan penjaga gawang Belgium yang juga pemenang Sarung Tangan Emas Piala Dunia 2018, Thibaut Courtois tampak sukar kerana Chelsea enggan melepaskannya.

Sejak berpindah ke Tottenham dari Lyon pada 2012, Lloris sentiasa menjadi tonggak pen­ting jurulatih Spurs, Mauricio Pochettino.




Kapten Perancis itu berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos dalam 90 daripada 254 penampilan sepanjang enam tahun di White Hart Lane.

Berjaya mendapatkan Lloris adalah satu langkah besar buat Real dalam usaha untuk me­nguatkan benteng pertahanan serta mengumpul bintang dunia.

Begitupun, Pengerusi Tottenham, Daniel Levy bukan orang yang mudah dibawa berunding, dan sekali pun dia bersetuju melepaskan Lloris, harga yang akan diletak pasti menyamai rekod dunia – 67 juta pound (RM357.62 juta) yang dibayar Liverpool ketika membeli Alisson daripada Roma, minggu lalu.

Selain Lloris dan Courtois, Real sebelum ini cuba mendapatkan penjaga gol No. 1 Sepanyol, David De Gea, namun pemain itu bersetuju menandatangani kontrak lima tahun bersama Manchester United, bulan lalu. – AGENSI