Selangor sah kembali beraksi di Stadium Shah Alam

Image result for selangor stadium shah alam

KUALA LUMPUR: Selangor yang terpaksa ‘menumpang’ beraksi di laman lain, sah kembali akan menggunakan gelanggang keramat mereka, Stadium Shah Alam bagi mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.



Perkembangan itu dimaklumkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Johan berkata, surat permohonan untuk menggunakan stadium keramat itu sudah dihantar kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) beberapa hari lalu dan badan pengendali liga itu akhirnya memberi kebenaran kepada Selangor, hari ini.

“Ya, kami baru mendapat surat pengesahan daripada MFL. Jadi Selangor sah akan berpindah ke Stadium Shah Alam untuk aksi Piala Malaysia.




“Sudah tentu perkembangan positif ini akan menjadi motivasi buat Selangor untuk memburu Piala Malaysia buat kali ke-34 memandangkan stadium itu sudah sinonim dengan pasukan ini,” katanya.

Sebelum ini, ‘perbalahan’ antara kerajaan negeri dan pengurusan FAS yang terdahulu menyaksikan skuad The Red Giants ‘merana’ apabila bukan sahaja dana disekat, malah tidak dibenarkan menggunakan Stadium Shah Alam selaku gelanggang rasmi.

Juara Piala Malaysia 33 kali itu terpaksa menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai gelanggang rasmi bagi mengharungi musim lalu.

Namun, percubaan untuk menjadikan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang rasmi pada musim ini gagal sekali gus menyaksikan mereka berpindah ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras bagi saingan liga musim ini.