Man United Tewaskan AC Milan Selepas 26 Sepakan Penalti

Image result for ac milan united states

CARSON, California 26 Julai – Manchester United menewaskan AC Milan dalam pertarungan epik yang jarang berlaku apabila 26 sepakan penalti terpaksa diambil untuk menentukan pemenang pada Piala Juara-Juara Antarabangsa di sini, hari ini.

Penjaga gol, Joel Pereira me­nyempurnakan dua sepakan pe­nalti dan menyelamatkan tiga tendangan lawan ketika membantu Red Devils menang 9-8 dalam aksi menghiburkan.



Alexis Sanchez melambung bola menumpaskan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma untuk jaringan pembukaan United pada minit ke-12, namun Milan hanya memerlukan tiga minit kemudian bagi menyamakan kedudukan menerusi Suso.

Selepas permai­nan terikat 1-1, perlawanan diheret ke penentuan penalti, yang mana Pereira diberi tanggungjawab mengambil tiga tendangan dan dua daripadanya menewaskan penjaga gol simpanan Milan, Pepe Reina.

Pereira, 22, menyelamatkan sepakan dua bekas pemain Liverpool, Fabio Borini dan Suso tetapi terlepas peluang mengesahkan kemenangan awal pada kedudukan 3-2 apabila tendangannya diselamatkan Reina, sekali gus memaksa penalti diteruskan ke sudden death.

Begitupun pemenang masih gagal diputuskan biarpun Ander Herrera berjaya menyempurnakan dua penalti United, dan Hakan Calhanoglu menyumbat dua gol buat Milan.




Franck Kessie akhir­nya menamatkan drama di Rose Bowl apabila sepakannya melepasi palang, sekali gus menghadiahkan kemenangan 9-8 kepada Red Devils.

“Ia hari istimewa. Selepas 18 bulan bersama Manchester United, pengurus (Jose Mourinho) akhirnya memberi kepercayaan kepada saya untuk me­lakukan perkara yang betul.

“Saya menyelamatkan sepakan lawan dan menjaringkan gol. Saya fikir, saya membalas kepercayaan dengan cara yang betul.

“Tunggu sahaja dalam beberapa minggu akan datang, selepas itu baru kita boleh lihat di mana kedudukan saya,” kata Pereira. – AGENSI