Mourinho berang dengan Martial

Anthony Martial Manchester United

ANTHONY Martial meninggalkan jelajah Manchester United di Amerika Syarikat (AS) berikutan hubungan tegang antara pengurus, Jose Mourinho pada Rabu malam.

Ia berlaku pada hari kelahiran anak lelakinya di Perancis.



Manchester United tidak dapat mengesahkan sama ada Mourinho memberikan kebenaran kepada Martial untuk terbang dari Los Angeles ke Paris bagi meluangkan masa bersama pasangannya, Melanie Da Cruz.

Bagaimanapun, pengurus kelab Old Trafford itu dikatakan berang dengan apa yang berlaku.

Pemain sayap berusia 22 tahun itu meninggalkan hotel di Beverly Hills yang merupakan penginapan buat pemain Manchester United, pada Rabu.




Martial memberitahu rakan sepasukannya bahawa dia tidak berhasrat untuk kembali ke program jelajah berikutan kelahiran anaknya itu.

Martial yang juga mempunyai anak perempuan berusia tiga tahun, hasil hubungannya dengan bekas kekasih, Samantha Jacquelinet dilihat terdesak untuk meninggalkan Old Trafford.

Malah, Mourinho nekad untuk menjual Martial bagi membiayai pemain baharu sebelum tarikh akhir perpindahan pada 9 Ogos ini. – Mail Online UK