Perak idam slot ACL ganti Pahang

KUALA LUMPUR 27 Julai – Sekiranya rayuan Pahang untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) ditolak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia, itu bermakna tempat mereka bakal digantikan dengan naib juara Liga Super yang kini masih terbuka.

Ketika ini, Perak menduduki tempat kedua hasil 36 mata dan mereka perlu menang ke atas PKNS FC dalam aksi terakhir liga di Stadium Shah Alam esok untuk menamatkan kempen sebagai naib juara memandangkan pencabar terdekat iaitu Pahang dan Terengganu hanya dipisahkan dengan dua mata.



Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berkata, pasukannya kini berada di landasan terbaik untuk menamatkan kempen liga sebagai naib juara namun pada masa sama mereka tidak mahu memandang rendah terhadap keupayaan pemain PKNS FC.

“Kami turun perlawanan esok untuk menang. Kami perlu bermain dengan baik kerana dengan kemenangan sahaja dapat mengesahkan tempat kami sebagai naib juara liga. Saya berharap kami menamatkan saingan di tangga kedua. Begitu pun, PKNS FC bukan pasukan mudah untuk ditewaskan kerana mereka ada pemain tempatan dan import yang berkualiti.

“Sudah tentu kami mahu beraksi di pentas Liga Juara-Juara jika Pahang tidak mengemukakan rayuan kerana kami memang layak bagaimanapun saya tidak pasti prosedurnya macam mana kerana melibatkan banyak pihak,” katanya hari ini.




Pahang layak beraksi dalam pusingan kelayakan ACL selepas menjuarai Piala FA menewaskan Selangor pada 7 Julai lalu bagaimanapun isu timbul kerana hukuman penggantungan ke atas skuad Tok Gajah masih berjalan hingga 2020.

Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) digantung dua tahun daripada memohon lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) oleh FAM selepas enggan menghantar Pahang menyertai Piala AFC 2018 menggantikan Kedah yang gagal dalam permohonan mendapatkan Lesen Kelab AFC.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan esok, bekas jurulatih Selangor itu berkemungkinan tidak dapat menurunkan dua pertahanan utamanya yang berdepan masalah kecederaan.

“Shahrul Saad cedera hamstring manakala Amirul Azhan di bahagian lutut kanan. Saya perlu memantau perkembangan mereka,” katanya. – utusan