KAFA hampir lumpuh, Presiden tempelak dua bekas naib presiden

KOTA BHARU 29 Julai – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhadapan dengan krisis dalaman yang serius apabila dua naib presiden dan bendaharinya, Datuk Ahmad Razali Ibrahim meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan cara pengurusan pengurusan persatuan tersebut.

Dua Naib Presiden tersebut ialah Datuk Mohd. Aizuddin Mohd Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim manakala seorang lagi Naib Presiden, Nik Pakheruddin Nik Abd Kadir tidak meletakkan jawatan.



Mohd. Aizudin menghantar surat peletakan jawatan pada Khamis lalu manakala Nik Izani mengambil langkah yang sama kelmarin. Ahmad Razali meletakkan jawatan lebih awal iaitu pada pertengahan Jun lalu.

Difahamkan beberapa exco Kafa juga akan mengambil langkah yang sama dalam masa terdekat kerana tidak mampu lagi bekerjasama dengan Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan.

Mohd. Aizudin yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini mengesahkan telah menghantar surat peletakkan jawatan tersebut.

“Seperti yang saya jelaskan dalam surat yang dihantar kepada Presiden, saya mengambil keputusan ini kerana saya tidak mampu lagi memikul amanah dan tanggungjawab sebagai ‘penumpang’ dalam Kafa tanpa dapat memberikan sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung ke arah pembangunan bola sepak Kelantan.

“Saya tidak menyalahkan presiden. Saya doakan Kafa dan pasukan bola sepak Kelantan kembali di landasan kepemimpinan sebenar dan saya bukan lari daripada tanggungjawab, saya dan Nik Izani ada sebab yang tersendiri serta mahu pengurusan Kafa disusun semula,” katanya.

Menurut sumber, ia berpunca daripada sikap Bibi Ramjani yang banyak membuat keputusan sendirian dan mentadbir persatuan seperti sebuah entiti perniagaan.

“Persatuan Bola sepak Jajahan (PBJ) perlu melakukan sesuatu dalam masa terdekat termasuk mendesak Kafa supaya kongres luar biasa diadakan bagi memilih pucuk pimpinan baharu,” kata sumber itu.




Jumaat lalu dilaporkan, kesilapan PBJ memberi mandat kepada Bibi Ramjani menerajui Kafa menjadi punca utama kepada penyingkiran The Red Warriors (TRW) ke Liga Perdana 2019.

Sementara itu Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan menempelak tindakan dua naib presiden badan induk itu yang bertindak melepaskan jawatan.

Bibi Ramjani berkata, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan memandangkan badan induk itu sedang berdepan dengan pelbagai masalah ketika ini.

“Sebagaimana kita bertanding (pemilihan Kafa lalu), betapa susah kita bersungguh-sungguh untuk mendapatkan jawatan tersebut.

“Namun apabila berada dalam keadaan kesusahan, kita tidak sewajarnya meletakkan jawatan dan itulah nasihat yang boleh saya berikan untuk diri sendiri serta orang lain,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Kelantan menentang Pahang di sini malam tadi.