Rooney ledak gol sulung, patah hidung

WASHINGTON: Bekas kapten England, Wayne Rooney meledak gol sulungnya bersama DC United dalam Liga Bolasepak Utama (MLS) tetapi turut mengalami kecederaan patah hidung ketika menang 2-1 ke atas Colorado Rapids, awal pagi tadi.

Rooney, 32, menjaringkan gol pembukaan dengan menewaskan bekas rakan sepasukan di Manchester United, Tim Howard sebelum mukanya dipenuhi darah apabila bertembung dengan pertahanan Colorado, Axel Sjoberg pada masa kecederaan.



“Gembira untuk menjaringkan gol pertama saya buat DC United,” tulis Rooney dalam laman Twitter selepas pasukannya meraih kemenangan keempat dalam 18 perlawanan musim ini.

Dua daripada kemenangan itu hadir sejak Rooney membuat penampilan pertamanya di MLS pada 14 Julai lalu.

Penjaring terbanyak skuad England itu yang tiba ke DC dari Everton dengan kontrak selama tiga tahun awal bulan ini berkata, dia memerlukan lima jahitan akibat kecederaan yang dialaminya.

Begitupun, kemenangan itu tetap menyaksikan DC ketinggalan 11 mata untuk beraksi dalam kancah playoff berbaki 16 perlawanan musim ini.




Selepas gol pembukaan Rooney pada minit ke-33, Colorado menyamakan kedudukan pada minit ke-82 menerusi Kellyn Acosta tetapi jaringan sendiri Niki Jackson pada minit ke-90 memberi kelegaan kepada mereka.

Jurulatih Ben Olsen menggelar perlawanan itu sebagai kemenangan penting bukan saja bagi pungutan mata tetapi untuk mengembalikan keyakinan skuad kendaliannya selain memuji kehadiran Rooney.

“Secara psikologi, ia cukup besar buat kami sebagai satu kumpulan,” kata Olsen.

“Saya tidak fikir ini perlawanan pertama dia (Rooney) berdarah seperti ini.” – AFP