Punca KAFA bergolak didedah

BIBI RAMJANI (kiri) dikatakan tidak pernah membincangkan isu kewangan

PUNCA pergolakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sehingga mendorong tiga watak penting badan itu melepaskan jawatan baru-baru ini didedah.

Naib Presiden KAFA, Datuk Mohd. Aizuddin Mohd. Ghazali menyifatkan pergolakan itu berpunca daripada sikap presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan yang menguruskan persatuan itu secara bersendirian selain menuduh barisan Exco sebagai ‘musuh dalam selimut’.



Beliau berkata, lebih mengecewakan sikap Bibi Ramjani yang mengetepikan peranan naib presiden dan barisan Exco sejak awal lagi terutama dalam soal perancangan kewangan menyebabkan beliau tawar hati untuk berkhidmat.

“Sebagai contoh, presiden tidak pernah membincangkan isu kewangan dan tajaan ke mesyuarat Exco termasuk geran tahunan yang diperoleh daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).




“Situasi itu menyebabkan ada dalam kalangan Exco yang mendahulukan duit poket sendiri untuk menjaga kebajikan barisan pemain bagi memastikan mereka tidak hilang fokus ketika beraksi,” katanya.

Mohd. Aizuddin melepaskan jawatannya menerusi sepucuk surat bertarikh 26 Julai lalu.

Turut melepaskan jawatan ialah seorang lagi naib presiden, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim dan bendahari, Datuk Ahmad Razali, manakala seorang lagi naib presiden, Nik Pakheruddin Nik Abd. Kadir tidak meletakkan jawatan.