Tidak Lapor Diri, Matthew Dan Nor Azam Digugurkan

Calm before the storm: National Under-23 coach Datuk Ong Kim Swee (centre) overseeing his boys at a team training session at the Wisma FAM in Kelana Jaya. —M. Azhar Arif/ The Star

KUALA LUMPUR 31 Julai – Susulan ketidakhadiran Nor Azam Azih dan Matthew Davies dalam sesi latihan hari ini, jurulatih skuad kebangsaan bawah 23 (B-23), Datuk Ong Kim Swee meng­anggap dua tonggak Pahang itu tiada di dalam barisannya yang akan beraksi dalam Sukan Asia 2018 bulan depan.

Jelasnya, beliau kini mahu memberi tumpuan penuh kepada anak-anak buahnya yang telah melaporkan diri ke kem latihan skuad negara untuk mempersiapkan diri menjelang temasya di Jakarta-Palembang itu daripada memikirkan pemain yang tidak hadir hari ini.



Selain itu, Kim Swee turut memberitahu beliau terpaksa menggugurkan dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu pertahanan Aidil Zafuan Radzak dan pemain tengah Syamer Kutty Abba selepas mereka disahkan mengalami kecederaan.

“Dua pemain itu saya anggap tidak hadir dan kami tidak mempunyai masa untuk memikirkan tentang pemain yang tidak hadir. Seperti saya katakan semalam saya perlu fokus kepada pemain-pemain sedia ada.

“Hari ini dua pemain telah digugurkan, Aidil dan Syamer yang mengalami kecederaan. Selepas berbincang dengan pihak perubatan, kami mendapati mereka memerlukan masa lama untuk pulih.

“Jadi saya mengambil keputusan untuk menggugurkan dua pemain ini. Sementara Baddrol (Bakhtiar) serta Akhyar (Rashid) kini telah berlatih bersama kita,” katanya selepas sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Petaling Jaya hari ini.

Semalam, pengurus skuad kebangsaan B-23, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi mengakui bi­ngung dengan status dua pemain Pahang tersebut yang gagal me­laporkan diri ke kem latihan pusat pertama di Wisma FAM.




Ketiadaan dua pemain Tok Gajah itu bagaimanapun di­terima dengan sikap positif oleh Kim Swee yang berkata dia masih memiliki tiga pemain Kedah, Baddrol, Akhyar dan Rizal Ghazali.

“Kita tahu Matthew dan Nor Azam merupakan pemain yang penting terutama apabila kita lihat dalam kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China baru-baru ini, mereka merupakan pemain cukup konsisten.

“Walaupun tanpa mereka, mungkin kita akan merasa sedikit impak tetapi dalam masa yang sama, kita mempunyai Baddrol yang saya percaya mampu menggalas tugas Nor Azam, manakala Rizal mampu mengambil tempat Matthew,” jelasnya.

Kim Swee, yang akan membawa 23 pemainnya ke Changzhou pada Khamis ini bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan China B-23 pada 5 Ogos menegaskan, beliau tidak akan mencari pengganti selepas kehilangan empat pemain itu.