Hadi Fayyadh mahu pikat kelab Jepun

Image result for Hadi Fayyadh Abdul Razak

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Sedar ia peluang sekali seumur hidup, penyerang bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak akan melakukan yang terbaik untuk memikat Roasso Kumamoto sepanjang enam hari menjalani sesi pemilihan bersama kelab divisyen dua Liga Jepun (Liga J) itu.



Jika berjaya, pemain kelahiran Tanjung Malim itu berjanji tidak akan mengikut jejak beberapa pemain terdahulu yang hanya bermain dalam tempoh singkat, sebaliknya dia mahu kekal lebih lama.

“Saya akan ke sana pada 5 Ogos ini bersama bapa dan akan menjalani pemilihan enam hari sebelum pulang ke tanah air. Sudah pasti saya akan memberi yang terbaik dan cuba memikat pengurusan kelab tersebut.

“Ini cabaran dan peluang terbaik untuk saya dalam usia yang masih muda. Kita tahu tahap bola sepak Jepun jauh lebih baik berbanding Malaysia dan saya mahu menetap serta mempelajari seberapa banyak teknik dan kemahiran di sana nanti,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Biarpun gagal menjaringkan gol ketika kempen Piala AFF bawah 19 tahun yang menyaksikan skuad bimbingan Bojan Hodak merangkul kejuaraan, namun dia yakin prestasinya di tahap terbaik untuk menjalani sesi pemilihan tersebut.




“Walaupun saya tidak dapat menjaringkan gol namun misi saya membantu pasukan menjadi juara berjaya dilaksanakan.

“Selepas balik dari kejohanan itu, dalam tiga perlawanan Liga Perdana dan Presiden (Johor Darul Ta’zim II), saya berjaya jaring lima gol.

“Ini menunjukkan saya berada di tahap terbaik untuk ke sana nanti. Saya juga ingin berterima kasih kepada Hiroshi Hamada (Pengarah Urusan Yakult Malaysia) atas peluang yang diberi,” jelasnya.

Keberangkatan Hadi ke Jepun menyaksikan dia akan terlepas perlawanan persahabatan skuad bawah 23 tahun negara (B-23) menentang China, namun bakal disenarai untuk menghadapi Sukan Asia. – UTUSAN