Ronaldo pamer skil dalam latihan pertama
TURIN 1 Ogos – Cristiano Ronaldo mempamerkan pelbagai skil yang dimiliki sewaktu dia menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan baharunya, Juventus.
Penyerang Portugal yang ditandatangani dengan harga 112 juta euro (RM531 juta) dari Real Madrid itu, bertemu dengan skuad senior buat kali pertama, semalam, untuk latihan kecergasan selepas kembali daripada cuti setelah beraksi pada Piala Dunia.
Pemain berusia 33 tahun itu kembali ke dalam padang bagi menyertai sesi latihan di Vinovo, dan dia kelihatan lebih tenang sejak Portugal tersingkir pada Piala Dunia di peringkat 16 terbaik pada 30 Jun lalu.
Ronaldo mempamerkan kemahirannya menimbang bola di depan lensa kamera media sebelum mengambil bahagian dalam latihan sepakan jarak dekat dan jauh.
Dia yang enggan mengalah selepas Rodrigo Bentancur menyempurnakan sepakan cantik yang membolosi sudut atas pintu gol, menyaksikan percubaannya mengenai palang, namun dia dengan pantas mengawal bola yang terkena tiang itu sebelum menolak mudah ke dalam gawang.
Bekas bintang Manchester United itu dijangka melakukan penampilan sulung dalam perlawanan kompetitif apabila Juve memulakan aksi bagi mempertahankan gelaran Serie A menentang Chievo pada 18 Ogos ini. – AGENSI