Kami tiada pilihan jual Salah – Pallota

ROME: Kelab Serie A, AS Roma tidak mempunyai sebarang pilihan selain melepaskan bintangnya, Mohamed Salah ke Liverpool tahun lalu, kata presidennya, James Pallotta.

Penyerang kelahiran Mesir itu melengkapkan perpindahan memecah rekod Reds ketika itu 42 juta euro (RM198.61 juta) untuk ke Anfield pada Jun 2017 dan meledak 44 gol dalam semua kejohanan musim lalu.



Pemain berusia 26 tahun itu membuktikan kemampuannya ketika bertemu Roma pada peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu yang berpihak Liverpool 7-6 secara agregat.

Tetapi Pallot dalam satu temuramah mendedahkan mereka perlu mengikuti permintaan Salah apabila dia memasuki tahun terakhir dalam kontraknya.

“Saya benar-benar menggemari Salah, ramai yang masih tidak tahu tetapi kami tiada pilihan, kami perlu membiarkannya pergi,” kata Pallot.




“Dia masih mempunyai kontrak selama setahun, dia meminta untuk dijual kerana dia merasakan dia perlu menunjukkan sesuatu di Liga Perdana. Ia cukup sukar, malah dengan Alisson juga sukar.”

Salah sebelum ini bergelut ketika menyarung satu lagi jersi kelab Inggeris, Chelsea di mana dia hanya mampu menjaringkan dua gol sepanjang dua musim di Stamford Bridge.

Begitupun, kepulangan semulanya ke Liga Perdana cukup sensasi apabila memperoleh musim yang cemerlang bersama skuad kendalian Jurgen Klopp. – Agensi