Kehadiran Courtois di Real tak bimbangkan Navas

PENJAGA gol Real Madrid, Keylor Navas tidak mempunyai sebarang perancangan untuk meninggalkan juara Eropah itu meskipun dengan kehadiran pesaing baharu, Thibaut Courtois.



Navas membantu Real menjulang gelaran Eropah selama tiga musim berturut-turut, tetapi masa depannya bersama gergasi Sepanyol itu berada dalam keraguan apabila Chelsea bersetuju melepaskan Courtois.

“Sudah tentu, saya mengatakannya dengan penuh kekuatan, keinginan saya untuk meninggalkan Real adalah sama seperti keinginan untuk mati,” kata penjaga gol Costa Rica itu.

Masa depan Navas di Santiago Bernabeu sentiasa menjadi spekulasi selepas Real tanpa berselindung mahu mendapatkan penjaga gol Manchester United, David de Gea sebelum ia digagalkan oleh mesin faks.




Kesilapan itu tidak menjejaskan prestasinya bersama Real dan pencapaiannya bersama pasukan jelas boleh dipuji.

Sejak mengambil alih tugas daripada legenda kelab itu, Iker Casillas, Navas, 31, sudah merangkul tiga gelaran Liga Juara-Juara, dua Piala Super UEFA, La Liga dan Piala Super Sepanyol. – Agensi